Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Cubaan seorang lelaki warga asing mencuri tandan kelapa sawit di sebuah ladang akhirnya gagal apabila dia dicekup ketika sedang leka ‘menuai’ hasil curi di Serudong Laut, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek berusia lingkungan 20-an ditahan kira-kira pukul 1.30 petang oleh sepasukan anggota polis bantuan bersama pasukan penguat kuasa Ladang Usahawan Borneo yang sedang melakukan rondaan.
“Suspek ditangkap ketika sedang mengutip buah kelapa sawit tanpa kebenaran di kawasan ladang Sungai Serudong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas 86 tandan buah sawit, satu batang tombak dan satu penyodok yang dipercayai digunakan untuk mencuri.
Jasmin berkata nilai kerugian dianggarkan RM2,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun dia disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
