Minggu Sains Negara 2025 Zon Sabah, semarak STI rentas generasi

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Sabah terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara apabila terpilih sebagai lokasi penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Sabah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal, berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kekal komited mendekatkan sains dengan rakyat melalui pelbagai inisiatif pembudayaan STI.

“Karnival itu turut membuktikan sambutan positif rakyat sejak kali pertama MSN dilaksanakan pada 2018 dan bagi Zon Sabah, penganjuran MSN 2025 diperkasa menerusi Kembara Sains Borneo, yang menampilkan bas pameran bergerak PSN Trooperz On The Move dari Pusat Sains Negara Kuala Lumpur, lengkap dengan 14 bahan pameran interaktif untuk pelajar dan guru.

“Pendekatan turun padang seperti Kembara Sains Borneo telah bermula sejak 2023 dan berjaya mendekatkan sains dengan masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian hadir ketika merasmikan program tersebut di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, Kembara Sains Borneo 2025 telah menjelajah ke 30 sekolah bermula di Kota Samarahan, Sarawak pada 6 Mei lalu, sebelum menutup tirai di Lahad Datu pada 1 Julai, melibatkan lebih 20,000 peserta.

“Sambutan masyarakat setempat juga amat memberangsangkan dengan pelajar, guru dan penduduk kampung berharap program sebegini diteruskan dan diperluas pada masa depan.

“Minggu Sains Negara 2025 dianjurkan oleh MOSTI dengan Pusat Sains Negara sebagai peneraju utama, bersama sokongan rakan strategik seperti Planetarium Negara, Akademi Sains Malaysia, Petrosains Discovery Center Sdn. Bhd serta penaja utama, Yayasan MR.DIY.

“Kerjasama erat pelbagai pihak, termasuk sektor swasta, diyakini mampu membina ekosistem STI yang inklusif dan berimpak tinggi, selaras aspirasi melahirkan generasi muda yang celik sains serta mampu bersaing di peringkat global,” katanya lagi.

Tinggalkan komen