Lelaki tempatan diberkas ceroboh bilik sewa wanita

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas menceroboh sebuah bilik sewa dan cuba menyerang seorang wanita yang sedang tidur di sekitar bandar Tawau, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Strike Team Balai Polis Tawau kira-kira pukul 10.15 malam di tempat letak kereta sebuah inap desa di bandar ini, semalam.

“Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang wanita berusia 25 tahun yang mendakwa mulutnya cuba ditekup suspek ketika sedang tidur.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh bangunan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang juga penyewa bilik berkenaan sedang tidur sebelum suspek dipercayai menyelinap masuk dan menekup mulutnya dalam cubaan samun.

“Mangsa yang terkejut terus menjerit dan menepis tangan suspek sebelum menolak pintu hingga suspek tercampak keluar. 

“Namun suspek masih berdiri di luar rumah menyebabkan mangsa dan penyewa lain terpaksa bersembunyi dalam bilik kerana bimbang keselamatan diri.

“Tiada barang berharga dilaporkan hilang. Bagaimanapun, tindakan pantas mangsa berjaya menggagalkan niat suspek,” katanya.

Hasil semakan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan. 

Polis turut merampas sebuah topi, beg silang dan sepasang selipar yang digunakan ketika kejadian.

Polis juga meneliti rakaman CCTV dan menjalankan risikan sehingga berjaya menahan suspek.

Jasmin turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci pintu dan tingkap rumah, terutama pada waktu malam, serta segera menghubungi pihak polis sekiranya melihat kegiatan mencurigakan.

Tinggalkan komen