Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Penduduk daerah ini bakal menikmati pelbagai kemudahan baharu hasil peruntukan keseluruhan berjumlah RM34.2 juta yang disalurkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata lawatan beliau ke Sandakan hari ini menerusi program Sentuhan Kasih membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kebajikan rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Labuk di mana kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi kerja menaik taraf pembinaan sel pelupusan baharu seluas 3.8 hektar yang mampu menampung sehingga 200,000 metrik tan sampah.
“Tapak ini sangat penting untuk agenda pembangunan bandar bersih di Sandakan dan memperkukuh pengurusan sisa pepejal ke arah komuniti lebih sejahtera dan lestari,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.
Nga turut meninjau projek mengecat empat blok apartmen di Taman Singapore menerusi Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN) dengan peruntukan RM500,000.
“Kerja-kerja ini membabitkan Blok 62, 72, 73 dan 74 yang telah dimulakan sejak Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.
“KPKT juga menambah RM500,000 lagi untuk menyelenggara blok-blok lain di taman perumahan tersebut,” katanya lagi.
Dalam lawatan sama, Nga melawat dewan di Jalan Singapore yang siap dibaik pulih dengan kos RM400,000 sebelum meninjau Pasar Sim-Sim, Kampung Air Sim-Sim dan Pasar Elopura.
“KPKT turut meluluskan RM2 juta bagi kerja-kerja naik taraf di empat pasar utama Sandakan ,Pasar Elopura, Pasar Kim Fung, Pasar Umum dan Pasar Sim-Sim ,termasuk penambahbaikan meja gerai demi keselesaan peniaga tempatan.
“Selain itu, RM400,000 diperuntukkan bagi membina bumbung gelanggang bola keranjang di Taman Indah Jaya dan RM400,000 lagi untuk menaik taraf Gelanggang Futsal di PPR Harmoni,” jelasnya lagi.
Nga dan delegasi KPKT turut meninjau Residensi PR1MA Borneo Cove, projek perumahan mampu milik yang siap pada Mei 2021, menawarkan 999 unit apartmen dalam tiga blok lengkap dengan dewan serbaguna, surau, taman permainan, tadika, taska dan gelanggang futsal.
Beliau berkata kejayaan pelaksanaan semua projek ini adalah hasil kerjasama erat antara KPKT, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Inisiatif ini sejajar dengan visi KPKT untuk memperkukuh kesejahteraan, kebersihan dan kemakmuran komuniti di seluruh negara,” ujar beliau lagi.
