Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Pembukaan cawangan baharu AFFIN di Inanam hari ini membuka satu lagi lembaran penting dalam usaha Kerajaan Negeri membangunkan ekonomi Sabah yang moden, inklusif dan berdaya saing di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kehadiran AFFIN sebagai institusi kewangan mampu memainkan peranan penting dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komuniti luar bandar serta golongan belia di negeri ini untuk mengakses pembiayaan, mendapatkan bimbingan serta meningkatkan literasi kewangan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa sistem perbankan yang inklusif ialah asas penting kepada kemajuan ekonomi rakyat di setiap daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan cawangan tersebut di Inanam, hari ini.
Menurut Hajiji, ekonomi yang mampan bermula dengan peluang, justeru kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan institusi kewangan seperti AFFIN adalah kunci untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang terus berkembang dan berdaya saing.
Majlis perasmian itu turut dihadiri pengurusan tertinggi AFFIN, pemimpin setempat serta wakil komuniti perniagaan.
