Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Akibat memiliki seleras senapang patah buatan sendiri, seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh ladang dicekup polis dalam serbuan di kawasan Ladang Brumas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 8.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) IPK Sabah bersama anggota Balai Polis Kalabakan hasil maklumat awam.
“Polis berjaya merampas satu laras senapang patah buatan sendiri, tiga butir peluru hidup dan satu sarung senjata selepas suspek menunjukkan lokasi senjata itu disembunyikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek berusia lingkungan 40-an itu kini ditahan di Balai Polis Bombalai untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Jasmin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memiliki senjata api secara haram kerana ia boleh mendatangkan risiko jenayah serius.
“Kerjasama orang awam amat dihargai kerana maklumat yang disalurkan membantu pihak polis menggagalkan sebarang cubaan keganasan atau jenayah melibatkan senjata api,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau dadah untuk menyalurkan terus ke Hotline IPD Tawau di 089-772121, balai polis berhampiran atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
