Bot pelancong bertembung di Semporna

Oleh: Sumayyah Rihanna

SEMPORNA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden kemalangan membabitkan dua buah bot di kawasan perairan berhampiran Floating Resort dan Jeti Umum Semporna pagi tadi.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim, kemalangan yang berlaku sekitar pukul 8.30 pagi itu membabitkan sebuah bot pelancong bernombor pendaftaran SA-8864/5/P yang membawa sembilan orang pelancong menuju ke Pulau Mabul dan sebuah bot kayu jenis penambang yang ditumpangi enam orang penduduk Kampung Hidayat, Pulau Bum-Bum.

“Siasatan awal mendapati pelanggaran berlaku di bahagian kiri hadapan bot pelancong, manakala bot penambang mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

“Akibat perlanggaran, bot kayu rosak dan kesemua penumpangnya terjatuh ke laut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, tindakan pantas pemandu bot pelancong berjaya menyelamatkan semua penumpang bot kayu terbabit sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Mabul.

Pemeriksaan lanjut mendapati bot pelancong tersebut membawa seorang lelaki dan tujuh wanita warga Malaysia dari Semenanjung, serta seorang wanita warga Switzerland. 

Penumpang bot kayu pula terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun dipercayai penduduk Kampung Hidayat. 

Maklumat penuh pengenalan diri mereka masih dalam siasatan.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam insiden ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mengemudi atau membawa apa-apa jua secara gopoh di laluan air, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda.

PDRM menasihatkan semua pengusaha dan pengguna pengangkutan air supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan serta mengambil langkah berwaspada ketika berada di perairan awam bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

Tinggalkan komen