Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyokong sepenuhnya usaha memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan belia Sabah berdaya saing dalam pasaran kerja dan tidak lagi terperangkap dalam kitaran pengangguran.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini merupakan satu anjakan paradigma yang penting dalam landskap pembangunan TVET negeri.
“TVET tidak lagi boleh dianggap sebagai sekadar satu pilihan, sebaliknya, ia perlu diterima sebagai pilihan arus perdana dalam usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang mampu membentuk masa depan Sabah.
“TVET bukan hanya memberikan kemahiran teknikal, malah memperkasa individu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam sempena Simposium TVET Sabah di Magellan Sutera Harbour, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang kepada pembangunan negeri yang kaya dengan pelbagai potensi termasuk sumber asli, sektor minyak dan gas, pertanian, pelancongan dan pembuatan.
“Namun, untuk meneruskan pertumbuhan sektor-sektor, kita memerlukan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi kehendak industri yang semakin rancak membangun di negeri ini.
“Kerajaan Negeri menyeru golongan belia untuk melihat TVET sebagai pilihan utama dan bukan sekadar alternatif dalam merancang masa depan mereka.
TVET sepatutnya dilihat sebagai satu pilihan bijak yang mampu melahirkan profesional, usahawan dan
inovator masa hadapan.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Simposium TVET Sabah, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul semasa ditemui pemberita dalam sidang media memberitahu bahawa pihaknya turut mencadangkan untuk TVET diperluas kepada skop industri kampung.
“Ini sebab kenapa saya nyatakan dalam ucaptama saya pagi tadi, industri TVET di kampung boleh diperluas dalam skop pelancongan berasaskan komuniti.
“Ini kerana jika kita ada operator yang boleh mengendalikan pelancongan berasaskan komuniti, mereka pasti dapat bersaing dengan operator pelancongan luar yang lain dan sekaligus meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.
Simposium TVET Sabah 2025 berlangsung selama dua hari sehingga Khamis.
