Fokus mandat rakyat dan masa depan Sabah: Salleh

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Dr. Salleh Said Keruak memberitahu bahawa sistem mandat rakyat dan masa depan Sabah adalah fokus utama selepas pembubaran DUN tidak lama.

“Ketua Menteri Sabah telah mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan tidak lama lagi dan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana penggal semasa hampir tamat dan pilihan raya mesti diadakan tahun ini mengikut peruntukan undang-undang.

“Dalam sistem demokrasi, pembubaran DUN adalah proses biasa, ia menandakan tamatnya satu penggal dan memberi ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian serta memperbaharui mandat. Kuasa kini dikembalikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Salleh, usaha berterusan parti-parti politik salam meraih kepercayaan akar umbi juga kian memuncak menjelang akhir tempoh penggal pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Ketika suhu politik semakin meningkat, parti-parti dan para pemimpin mula bergerak aktif, bertemu rakyat, menganjurkan program, dan mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ini perkara lumrah menjelang pilihan raya.

“Namun realitinya, ramai rakyat sudah pun membuat keputusan. Mereka tahu siapa yang sentiasa turun padang, siapa yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya, dan siapa yang benar-benar memahami denyut nadi kehidupan harian mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Salleh turut menegaskan bahawa sistem politik berasaskan parti, sudah lama bertapak lazimnya mempunyai sokongan yang setia daripada akar umbi.

“Ini terbina melalui pengalaman, khidmat dan kepercayaan. Kesetiaan ini bukan mudah digoyahkan dengan janji atau sentimen jangka pendek.

“Perumpamaannya seperti seseorang yang sudah biasa minum Coke, bukan mudah baginya untuk menerima Pepsi.

“Dalam politik juga begitu, kesetiaan bukan sekadar soal jenama, tetapi soal kepercayaan yang telah dibina,” jelasnya.

Salleh juga berkata bahawa medan sebenar pertempuran kini tertumpu kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar.

“Golongan ini tidak terikat dengan mana-mana parti, tetapi mereka peka terhadap isu, prestasi dan persekitaran semasa.

“Untuk mendekati mereka, parti politik mesti membawa mesej yang jelas, menangani isu kehidupan sebenar, dan menawarkan visi masa depan yang boleh diyakini bukan sekadar slogan atau pengumuman yang bersifat sementara,” katanya.

Salleh juga menjelaskan bahawa masa depan Sabah tidak boleh disandarkan kepada retorik semata-mata kerana ia memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang mantap, dan komitmen yang ikhlas untuk berkhidmat bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Pilihan raya yang bakal tiba ini adalah saat untuk semua pihak, baik parti mahupun rakyat, membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina sebuah Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen