Oleh: Sumayyah Rihanna
KENINGAU: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di hadapan sebuah bank di Jalan Masak, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 malam itu, mangsa dikenali sebagai Suzila Adip, 40, yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kafe berhampiran, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan Hospital Keningau.
Mengikut sumber, kafe tempat wanita itu bekerja terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian, berdekatan kawasan perniagaan termasuk sebuah pasar raya DIY.
Rakaman video tular di media sosial memaparkan suasana hiba di lokasi kejadian dengan jeritan pilu ahli keluarga mangsa, yang mengundang sebak dalam kalangan orang ramai.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum dirempuh sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 52 tahun.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke hadapan Proton Saga yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yampil berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Keningau untuk proses bedah siasat.
Tambah beliau, kedua-dua pemandu tidak disyaki berada di bawah pengaruh alkohol, namun sampel darah mereka telah diambil untuk ujian toksikologi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Keningau, Inspektor Amiliyawati Amin di talian 017-5004724.
