Sabah terima pelaburan RM10.9 bilion bagi suku pertama 2025

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Sabah terus mencatat prestasi memberangsangkan dalam sektor pelaburan apabila berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.9 bilion bagi suku pertama tahun 2025.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, sepanjang tempoh 2021 hingga 2024, Sabah telah menerima sebanyak 420 projek pelaburan dengan jumlah keseluruhan mencecah RM35.38 bilion. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM20.61 bilion merupakan pelaburan domestik manakala RM14.77 bilion adalah pelaburan asing.

“Trend pelaburan menunjukkan kepercayaan yang tinggi terhadap dasar pembangunan negeri, apabila pelaburan domestik terus mendahului dalam dua tahun berturut-turut. 

“Pada tahun 2024, nilai pelaburan domestik direkodkan sebanyak RM5.37 bilion berbanding RM1.08 bilion pelaburan asing,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang meminta penjelasan mengenai kejayaan Kerajaan Negeri dalam tiga fokus utama melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) iaitu Ekonomi, Modal Insan dan Kelestarian Rakyat.

Menurut Nizam lagi, pada tahun 2023, pelaburan domestik meningkat kepada RM11.21 bilion, jauh lebih tinggi berbanding pelaburan asing yang hanya mencatat RM0.13 bilion.

Nizam turut menjelaskan bahawa pelaburan asing yang masuk ke Sabah lebih menjurus kepada sektor khusus seperti pembuatan kerajang tembaga, panel solar, minyak dan gas, serta besi keluli. 

“Dalam masa yang sama, pelaburan domestik menunjukkan kejayaan signifikan hasil usaha Kerajaan Negeri sepanjang pentadbiran dari tahun 2021 hingga 2024.

“Bagi memastikan pertumbuhan pelaburan terus rancak, Kerajaan Negeri turut merancang untuk menubuhkan tiga taman perindustrian baharu di beberapa kawasan strategik iaitu di Kudat, Kota Belud-Kota Marudu dan Beaufort-Kimanis,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nizam berkata pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 yang bermula sejak 2021 telah menunjukkan hasil positif. 

“Sehingga Mei 2025, purata pencapaian keseluruhan berdasarkan Laporan Inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya mencatatkan 94 peratus daripada 467 inisiatif yang digariskan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen