PATI ditahan cederakan lelaki di masjid

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah dan mencederakan seorang jemaah di sebuah masjid di Jalan Damai, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat apabila didatangi suspek yang bertindak menyerangnya.

“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang sebelum ini menegur kanak-kanak sering mengganggu jemaah solat di masjid terbabit termasuk anak suspek.

“Dalam kejadian itu, mangsa dipukul tiga kali di kepala dan turut diugut dengan kata-kata ancaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selepas berlaku pertengkaran dan mangsa ditumbuk di bahagian muka, mangsa membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri.

Bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor dan berjaya menahan suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,suspek telah dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Polis menyeru orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri dan sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tinggalkan komen