Nelayan Semporna terima pelbagai insentif dari Kerajaan Negeri

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan terus komited membantu komuniti nelayan termasuk di Semporna melalui pelbagai bentuk insentif dan sokongan berterusan.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Peto Galim berkata, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Sabah menyediakan dua jenis bantuan utama iaitu Program Transformasi Sosio-Ekonomi Nelayan dan Penternak Miskin/Termiskin, serta Program Peningkatan Pendapatan Nelayan Setempat dan Program Bantuan Nelayan Pesisir Pantai.

“Kedua-dua program itu menyediakan bantuan peralatan seperti enjin sangkut, bot gentian kaca, pukat, tali Polyethylene (PE), jaket keselamatan, kotak ikan berinsulasi, lampu penanda dan sistem navigasi GPS, bergantung kepada keperluan semasa penerima,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan, Datuk Dr. Jaujan Sambakong dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat tahun 2024, terdapat 26,682 orang nelayan berdaftar di Sabah, termasuk 5,158 orang dari daerah Semporna. 

Daripada jumlah itu, seramai enam nelayan Semporna menerima bantuan pada 2024, manakala 12 lagi dijangka menerima bantuan sepanjang 2025.

Peto turut menjelaskan peranan Ko-Nelayan yang menawarkan skim kredit mikro kepada komuniti nelayan.

“Antara skim itu ialah Skim Bantuan Nelayan, Skim Bantuan Pengusaha Akuakultur dan Pembangunan Industri Kecil Perikanan, bertujuan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar dan memperkasakan ekonomi nelayan dan usahawan kecil.

“Program pembangunan modal insan turut dilaksanakan melalui kursus-kursus latihan di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta Latihan Pembangunan Nelayan, antaranya dalam penyelenggaraan enjin dan pembuatan bot gentian kaca. 

“Seramai lapan nelayan dari Semporna telah menyertai kursus ini sejak 2024,” jelasnya lagi.

Selain itu, Peto juga memberitahu sebanyak lapan nelayan dari Semporna juga telah menerima pembiayaan mikro kredit melalui program i-Nelayan, manakala 13 pengusaha hiliran menjadi peserta i-Hiliran dengan nilai pembiayaan mencecah RM100,000.

“Dalam usaha memperkasa pendigitalan nelayan, sebanyak lapan nelayan dari Semporna telah menerima latihan penggunaan aplikasi satelit e-SMART, manakala 16 pengusaha hiliran dari daerah sama kini aktif berniaga secara atas talian melalui platform e-KAN Ko-Nelayan, dengan jumlah jualan terkumpul mencecah RM5.23 juta setakat Mei 2025.

“Program e-KAN ini adalah antara inisiatif di bawah Elektronik Komuniti Usahawan Perikanan yang membolehkan nelayan dan usahawan mikro mempromosikan serta menjual produk mereka melalui kedai maya secara dalam talian,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen