Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mencadangkan pembubaran sebahagian daripada sepuluh kawasan hutan simpan pelbagai kelas dengan jumlah keluasan lebih 16,728.9 hektar bagi tujuan pembangunan sosioekonomi negeri, termasuk penyediaan penempatan sah untuk lebih 12,000 penduduk luar bandar.
Cadangan itu dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada Selasa menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali kedua.
“Pembubaran itu melibatkan kawasan hutan simpan dalam pelbagai kategori iaitu Hutan Simpan Kelas I (Perlindungan), Kelas II (Komersial), Kelas IV (Ameniti), Kelas V (Bakau) dan Kelas VI (Dara/VJR) yang terletak di daerah Sipitang, Tenom, Kemabong, Tawau, Kalabakan, Ranau, Pitas dan Kudat. Kawasan-kawasan ini telah lama didiami oleh masyarakat luar bandar, namun masih berada dalam sempadan hutan simpan yang sah.
“Dengan pewartaan baharu, penempatan mereka akan mendapat pengiktirafan sah di bawah Ordinan Tanah Sabah.
“Antara kawasan terlibat ialah Hutan Simpan Sipitang seluas 15,978 hektar untuk memberi laluan kepada 36 kampung di Sipitang, Tenom dan Kemabong,” katanya semasa berucap di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini.
Katanya, kawasan lain termasuk Hutan Simpan Safoda Kinarut (320.9 hektar) yang akan ditadbir urus oleh SAFODA, Hutan Simpan Trus Madi di Ranau (55 hektar), dan Hutan Simpan Sungai Serudong (20 hektar) bagi projek strategik pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Titik A.708 sempadan Malaysia–Indonesia.
Nizam turut menjelaskan bahawa pembubaran itu hanya melibatkan pengurangan kecil terhadap keluasan keseluruhan hutan simpan kekal Sabah iaitu penurunan sebanyak 0.47 peratus daripada 3.575 juta hektar kepada 3.558 juta hektar.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa langkah ini tidak akan menjejaskan komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar.
“Setiap keluasan yang dibubarkan akan diganti dengan kawasan hutan simpan baharu yang mempunyai keluasan dan kualiti hutan yang setara.
“Langkah ini selaras dengan Dasar Hutan Sabah 2018 yang menekankan prinsip penggantian setiap kawasan hutan yang dinyahwartakan,” katanya.
Selain itu, Nizam juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kini sedang dalam proses mewartakan beberapa kawasan hutan simpan baharu dan tanah kerajaan sebagai kawasan perlindungan khas di bawah Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968.
“Pewartaan ini bertujuan memelihara tanah, sumber air, flora, fauna serta habitat hidupan liar.
“Melalui pewartaan ini, keluasan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) di Sabah dijangka meningkat kepada lebih 2.227 juta hektar atau bersamaan 30.06 peratus daripada keseluruhan tanah negeri,” jelasnya.
Nizam berkata, sasaran itu seiring dengan matlamat Dasar Hutan Sabah untuk mewartakan sekurang-kurangnya 30 peratus tanah Sabah sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya menjelang tahun 2025.
“Kejayaan ini bakal menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan perlindungan terbesar di Malaysia.
“Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan akan dibahaskan oleh ahli dewan sebelum diluluskan,” ujar Nizam lagi.
