Beri penekanan isu mualaf dan perumahan rakyat: Rina

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri disaran memberikan penekanan khusus terhadap kebajikan mualaf dan perancangan perumahan rakyat secara berasaskan data menyeluruh bagi memastikan pembangunan yang lebih tersusun dan berpaksikan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata, isu membabitkan bimbingan pasca syahadah kepada saudara baharu perlu dilihat secara serius memandangkan ramai mualaf di kawasan luar bandar dan pedalaman masih belum menerima bimbingan sistematik.

“Mereka ini hanya menerima taklimat awal selepas memeluk Islam, namun selepas itu terkapai-kapai menghadapi pelbagai cabaran termasuk soal akidah, perkahwinan, pekerjaan bahkan tekanan daripada keluarga asal.

“Saya mencadangkan supaya satu Pusat Pembangunan Mualaf Daerah diwujudkan dengan model pembinaan sahsiah, akidah serta latihan ekonomi asas, termasuk kerjasama antara JHEAINS, NGO Islamik dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2025 di Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.

Menurutnya, langkah itu penting agar pendekatan dakwah dapat disampaikan secara lebih mesra komuniti dan tidak bersifat birokratik semata-mata.

Dalam pada itu, Rina turut menyentuh mengenai keperluan pengurusan pembangunan perumahan rakyat yang lebih terancang melalui pelaksanaan kajian geospatial secara menyeluruh bagi mengenal pasti keperluan sebenar perumahan mampu milik di Sabah.

Katanya, perancangan bandar ketika ini dilihat tidak menjiwai realiti masyarakat apabila terlalu banyak pembinaan rumah mewah, sedangkan permohonan untuk rumah mampu milik kian bertambah.

“Saya menerima banyak permohonan rayuan rakyat untuk mendapatkan rumah PPR (Projek Perumahan Rakyat) tetapi tiada satu pun yang mendapat kelulusan, walhal pemohon benar-benar layak dan memerlukan.

“Ini menunjukkan keperluan untuk melakukan kajian geospatial secara terperinci bagi mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan pembinaan rumah mampu milik,” katanya lagi.

Beliau mencadangkan agar peruntukan tambahan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut digunakan untuk membangunkan sistem perancangan perumahan yang berasaskan data serta keperluan sebenar rakyat.

“Saya mencadangkan agar kuota khas rumah mampu milik diperkenalkan bagi golongan ibu tunggal, penjawat awam gred rendah dan anak muda berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

“Peruntukan RM20 juta ini bukan sekadar angka di atas kertas, ia perlu diterjemahkan kepada tindakan yang sampai ke kawasan PPR yang uzur, taman perumahan tanpa lampu jalan, pondok keselamatan yang tiada, dan rumah rakyat yang sudah lama menanti bantuan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen