643 peniaga kecil terima bantuan one-off RM5,000

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Seramai 643 peniaga gerai kecil tepi jalan di seluruh Sabah dikenal pasti layak menerima bantuan khas one-off sebanyak RM5,000 setakat April 2025.

Perkara itu dimaklumkan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 hari ini.

“Penerima bantuan merupakan peniaga yang mempunyai lesen perniagaan sah dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan serta dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Mac 2025.

“Peruntukan khas bagi bantuan tersebut telah disalurkan oleh Kementerian Kewangan Sabah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, berdasarkan bilangan penerima di setiap daerah, termasuk di Ranau.

“Penyerahan bantuan akan dibuat secara tunai (lump sum) oleh PBT kepada peniaga yang layak,” katanya di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Langkah itu dilihat sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyokong golongan peniaga kecil, khususnya mereka yang menjalankan perniagaan di gerai tepi jalan, agar terus mampu bertahan dalam persekitaran ekonomi semasa.

Tinggalkan komen