KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, Kadamaian dan Penampang harus menerima limpahan pelaksanaan Belanjawan Tambahan Sabah 2025.
Beliau berkata, hal tersebur kerana kedua-dua kawasan itu masih memerlukan banyak perhatian daripada kerajaan termasuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, sistem perparitan dan pemilikan tanah anak negeri.
“Saya banyak menerima aduan mengenai keadaan jalan-jalan di seluruh Kadamaian yang memerlukan penyelenggaraan dan penaiktarafan.
“Saya berharap syarikat-syarikat yang dilantik dapat melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dengan lebih baik dan kerap di Kadamaian.
“Begitu juga dengan sistem perparitan utama di kawasan Penampang. Saya berharap parit-parit utama di seluruh Penampang dapat diselenggara dengan baik bagi mengelak kejadian banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dari segi pemilikan tanah, Ewon berharap agar kerajaan negeri dapat menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi penyukatan tanah anak negeri di bawah Program PANTAS sebagai tambahan kepada peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ini kerana masih banyak kampung yang memerlukan penyukatan tanah di bawah program ini terutama di kawasan yang berkecerunan tinggi dan yang dikeluarkan daripada kawasan perhutanan,” jelas Ewon.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa sewajarnya, sebahagian daripada peruntukan RM3.5 juta yang disediakan untuk penyelenggaraan kompleks-kompleks sukan turut melibatkan penggantian trek baharu di Kompleks Sukan Penampang.
“Saya menaruh harapan tinggi agar Belanjawan Tambahan ini dapat membantu menangani keperluan mengurus dan pembangunan yang diperlukan oleh rakyat,” katanya lagi.
Ewon turut memuji tadbir urus kewangan Kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri (Datuk Hajiji Noor) kerana berjaya mengurus kewangan dengan baik termasuk menerima Sijil Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Tanpa Teguran
“Saya mewakili rakyat Kadamaian dan parti saya akan terus mendukung segala usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sabah untuk memastikan tadbir urus kewangan ini terus dimantapkan,” katanya.
