Lelaki ditahan ugut bapa guna parang

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Seorang lelaki ditahan reman oleh polis kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap ahli keluarganya dalam satu kejadian yang berlaku di daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis Jasmin Hussin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek bertindak mengamuk dan mengancam bapa kandungnya menggunakan sebilah parang sepanjang 65.8 sentimeter.

“Abang kandung suspek menyedari kejadian itu dan berjaya menenangkan suspek, namun tidak lama kemudian, suspek bertindak agresif semula dengan merosakkan harta benda di rumah abangnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bimbang dengan keselamatan diri dan keluarganya, mangsa bertindak membuat laporan polis di balai berhampiran.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Sri Indah telah menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor dan berjaya memberkas suspek.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sri Indah sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut dan perintah tahanan reman,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tinggalkan komen