Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian melibatkan 10 botol minyak wangi dari sebuah premis runcit di bandar ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kecurian dengan anggaran kerugian bernilai RM328.00.
“Bertindak maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah menahan suspek lelaki berusia 31 tahun di kawasan Jalan Apas, Tawau.
“Siasatan awal mendapati suspek telah mencuri 10 botol minyak wangi berjenama Enchanteur dari sebuah kedai runcit terkenal iaitu Guardian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek kini ditahan dan telah dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
