Polis rempuh suspek dadah, dua ditahan manakala satu lolos

Oleh: Stringer

BEAUFORT: Tiga lelaki bertindak di luar kawalan dan memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan pada tayar kenderaan mereka dalam sebuah kejadian di Jalan Pan Borneo, dekat Kampung Lumat, di sini, kelmarin.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 4.15 petang itu melibatkan dua suspek masing-masing berumur 29 dan 18 tahun, berjaya ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Wong Leong Meng berkata seorang lagi suspek sempat meloloskan diri semasa anggota polis memintas kenderaan dinaiki mereka.

“Kami syak, mereka turut terlibat dalam aktiviti urus niaga dadah di kawasan sekitar Membakut hingga Beaufort,” kata semasa dihubungi pemberita, hari oni.

Menurut beliau, semasa serbuan, kenderaan dinaiki suspek tiba-tiba bertindak meluru ke hadapan serta hampir merempuh anggota yang bertugas.

“Pasukan kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah taya kereta suspek, tetapi mereka berjaya melarikan diri.

“Setelah itu, pasukan kita terus mengejar suspek sebelum kenderaan dinaiki mereka berjaya ditahan di tepi jalan Pan Borneo dan tiga suspek keluar dari kereta itu,” katanya.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tinggalkan komen