Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis ganja seberat 204.91 gram dengan nilai RM4,500 di kawasan Era Mini Market Ranggu, Batu 8, di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata suspek berusia 31 tahun itu adalah lelaki warga tempatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati beliau positif dadah jenis ganja.
“Pemeriksaan dijalankan oleh pihak polis dan kita menjumpai satu plastik berwarna putih dengan kotak simpanan mengandungi satu alat penimbang digital berwarna hitam.
“Selain itu, terdapat tiga bekas plastik lutsinar yang di dalamnya ada mengandungi 24 paket lutsinar berlainan yang berisi ketulan tumbuhan mampat disyaki dadah jenis ganja.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit model Vivo y20, sebuah kereta pacuan empat roda jenis Toyota berwarna merah serta kunci,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, suspek kini ditahan selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis sedang berusaha mengesan rangkaian pengedaran dadah berkaitan, bagi tujuan siasatan lebih terperinci.
