Oleh: M. Shahril Kamarul Rizzan
LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas kejadian kemalangan yang melibatkan dua buah motosikal di simpang Kampung Bangkarat, Jalan Lahad Datu, Tungku, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt. Jimmy Panyau berkata, kemalangan maut itu berlaku sekitar pukul 10.30 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa menukar haluan secara tiba-tiba, lalu dirempuh oleh motosikal jenis Yamaha R15 ditungangi oleh lelaki berusia 25 tahun.
“Akibat daripada rempuhan itu, mangsa tercampak dan terseret di lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dalam keadaan parah, namun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.27 pagi tadi.
“Penunggang motosikal jenis Yamaha R15 pula mengalami kecederaan ringan sahaja.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau lagi.
