Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Bukit Aman, YDH CP Datuk Ts Ahmad Ramdzan Daud berkata pucuk pimpinan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sentiasa menetapkan keutamaan untuk memberikan servis dan perkhidmatan kepada masyarakat secara menyeluruh dan bukan mempromosikan anggota dari sudut peribadi.
“Kita bertugas untuk masyarakat dan ini bukanlah untuk mempromosikan diri sendiri atau jabatan, tetapi secara menyeluruh, membawa nama PDRM sebagai pemberi khidmat untuk rakyat dan komuniti.
“Jika ada kakitangan atau anggota kita yang buat sesuatu dan masukkan di laman media sosial, misalnya TikTok live, atau Facebook, ini sebenarnya bukan ‘kita’, bukan polis kerana ketetapan polis adalah kita bertugas kerana kita memang memegang tanggungjawab untuk bertugas kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sidang media, selepas Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil. 78, Siri 5/2025 di sini, hari ini.
Menurut beliau, anggota polis juga memberikan perkhidmatan menyeluruh kepada masyarakat dan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan sebarang permasalahan.
“Kita bagi perkhidmatan yang lebih untuk komuniti masyarakat kita sebagai contoh kejadian banjir yang kerap berlaku, jalan raya ada kalanya akan ada masalah baik kesesakan atau kadang-kadang masalah lain di jalan yang menghalang lalu lintas.
“Ini diluar daripada skop kita punya anggota tetapi kita buat juga, kerana kita faham jika dibiarkan, ia akan mengganggu lalu lintas dan kelak tugas akan jadi lebih sukar.
“Sebab itu saya nyatakan bahawa tugas yang lebih atau ekstra ini, kita titik beratkan dalam kalangan anggota dan pegawai kita,” ujar beliau lagi.
