Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Kawasan pantai timur Sabah yang termasuk dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) terus diiktiraf sebagai destinasi pelancongan yang aman, selamat dan berdaya saing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kejayaan dan pencapaian itu merupakan manifestasi daripada usaha semua pihak.
“Ini kekal sebagai satu destinasi yang aman, selamat dan berdaya saing serta mempunyai potensi pelancongan yang sangat-sangat tinggi, itu mesej spesifik yang kita nak sampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Program Tinjauan Keselamatan ESS Zone bersama Perwakilan Asing 2025, yang berlangsung di beberapa lokasi pelancongan utama di Semporna termasuk Pulau Omadal, Pulau Sibuan, Pulau Bohey Dulang dan Pulau Mataking.
Program tinjauan tahun 2025 itu menyaksikan penyertaan daripada 15 perwakilan diplomatik dari 10 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Jerman, China dan Korea Selatan yang berpeluang meninjau sendiri situasi keselamatan serta keunikan budaya tempatan di kawasan ESS Zone.
“Mereka berpeluang berinteraksi langsung bersama komuniti setempat, kenal budayanya, kenal sejarahnya dan ini sudah tentu membolehkan mereka mendapat kecerahan tentang keunikan lokasi yang kita anggap sebagai kehidupan masyarakat setempat, itu menambahkan lagi kekuatan dari segi produk pelancongan,” ujar beliau.
Dalam sidang media sama, Saifuddin turut memaklumkan bahawa tiada insiden penculikan berlaku di kawasan pantai timur Sabah sejak 15 Januari 2020.
Menurut beliau, keadaan itu adalah hasil pelaksanaan berterusan Operasi SANGGAH yang menggabungkan kekuatan PDRM, ATM, APMM serta sokongan agensi risikan.
“Langkah kawalan keselamatan ketat ini turut menyumbang kepada peningkatan mendadak sektor pelancongan di ESS Zone.
“Statistik mencatatkan kehadiran pelancong ke kawasan ini meningkat daripada 64,470 orang pada 2022 kepada lebih 314,000 orang pada 2024.
“Manakala bagi tahun 2025, setakat 31 Mei, seramai 107,412 pelancong telah direkodkan memasuki kawasan ESS Zone,” jelasnya.
Katanya, peningkatan itu turut menjadi petunjuk jelas bahawa persepsi keselamatan terhadap kawasan pantai timur Sabah semakin positif, sekali gus merangsang pertumbuhan industri pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Program ini adalah sebahagian daripada pendekatan diplomatik berasaskan keyakinan (confidence building) yang menggabungkan keselamatan dan pelancongan, selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan aspek keselamatan sebagai asas kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau lagi.
