Cuai soal surat, bukan isu teknikal: UMNO KK

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata 

kegagalan mengadakan mesyuarat penting pada 30 Jun lalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah bukan sekadar isu teknikal.

“Ia mencerminkan kegagalan sistemik dalam tadbir urus kerajaan negeri apabila dua menteri kanan negeri iaitu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengeluarkan kenyataan bercanggah.

“Seorang kata surat tidak dihantar, seorang lagi kata surat sudah dihantar tapi mesyuarat ditangguh atas permintaan Timbalan Perdana Menteri.

“Ini bukan soal siapa betul, tetapi soal kenapa kerajaan negeri tidak berfungsi secara sepakat. Jika hal sepenting ini pun tidak dapat diurus dengan tertib, bagaimana mahu meyakinkan Putrajaya bahawa Sabah bersedia menerima kembali 40 peratus hasil?,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, perjuangan hak negeri tidak mampu untuk berdiri atas slogan dan cakap-cakap politik semata-mata.

“Ia mesti bermula dengan pentadbiran yang kemas, komunikasi yang jelas, dan sistem yang teratur.

“Sebuah kerajaan yang gagal dalam tadbir urus tidak layak berbicara soal mempertahankan hak rakyat.

“Governance begins with order. Tanpa order, tiada governance. Tanpa governance, tiada masa depan,” ujar beliau lagi. 

Tinggalkan komen