Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata penggubalan Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 dan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 adalah antara contoh jelas yang mempamerkan kepentingan untuk parti lokal menjadi teras kepada Kerajaan Negeri.
“Teras kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlulah datangnya daripada parti yang berbeza. Ini untuk memastikan hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah berbentuk antara kerajaan (inter-governmental) dan bukannya intra parti (intra-party).
“Bentuk hubungan inilah yang mendasari hubungan di antara teras Kerajaan Persekutuan pada hari ini iaitu PH, dan teras Kerajaan Negeri iaitu GRS. Teras kepada pusat adalah parti nasional dan teras kepada negeri adalah parti lokal.
“Antara bukti jelas kepentingan model politik ini adalah penggubalan Akta CCUS 2025 yang telah diluluskan di Parlimen pada Mac 2025 (Dewan Rakyat – 6 Mac 2025, Dewan Negara – 25 Mac 2025),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap di sini, hari ini.
Menurut Armizan, peringkat awal perancangan pemakaian RUU CCUS adalah berkuat kuasa untuk seluruh negara namun Kabinet Persekutuan bersetuju supaya RUU tersebut dipinda kepada pemakaian hanya untuk Semenanjung Malaysia dan Labuan.
“Ini adalah setelah mendengar pandangan Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui GRS dan Kerajaan Negeri Sarawak yang diterajui GPS.
“Perkara ini juga berlaku disebabkan Kerajaan Persekutuan diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang amat komited berpegang kepada pengiktirafan kedudukan khas Sabah dan Sarawak sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita tidak menolak parti nasional dan hakikatnya Kerajaan Negeri Sabah juga dianggotai oleh Ahli Jemaah Menteri dan ADUN daripada PH,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan turut menegaskan bahawa aspek penting yang perlu dipastikan menjadi teras kepada kepimpinan Kerajaan Negeri adalah perjuangan yang membawa kepentingan agenda negeri.
“Ini untuk memastikan agenda yang melibatkan kepentingan negeri tersebut akan sentiasa dibincangkan dalam struktur antara dua peringkat Kerajaan (inter-governmental) dan tidak dirundingkan dalam struktur dalaman parti (intra-party) terlebih dahulu.
“Penggubalan Akta CCUS 2025 berbeza dengan penggubalan Akta Laut Wilayah 2012. Hari ini ada pemimpin dan parti tertentu yang tiba-tiba lantang berbicara tentang hak negeri termasuk mempertikaikan Akta Laut Wilayah (TSA) 2012 sebagai modal politik.
“Akta ini membataskan kuasa negeri kepada perairan hanya tiga batu nautika sahaja dan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan GRS terus menegaskan bahawa ia tidak terpakai kepada Sabah kerana tidak diluluskan oleh DUN Sabah,” tambah Armizan lagi.
Selain itu, Armizan turut menjelaskan bahawa wujud pertikaian daripada Ahli Parlimen dan berstatus Menteri Persekutuan pada tahun 2012.
“Saya fikir mereka perlu jelaskan kenapa hanya bangkitkan hari ini dan mengapa mereka tidak mempertikaikan apabila RUU Laut Wilayah dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen pada tahun 2012 sehingga ia lulus sebagai Akta Parlimen. Ini adalah ‘rekod’ parti dan ‘pemimpin’ yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah.
“Saya melihat semua ini berlaku kerana dua faktor, pertama ialah perbezaan teras kedua-dua peringkat Kerajaan di antara tahun 2012 dan 2025. Tahun 2012 kedua-dua peringkat kerajaan bukan sahaja diterajui, malah didominasi oleh sebuah parti nasional yang sama dan ini berbeza pada tahun 2025 teras Kerajaan Negeri adalah parti lokal dan teras kepada Kerajaan Persekutuan adalah parti nasional.
“Kedua, hampir keseluruhan Ahli Parlimen Sabah pada tahun 2012 berada dalam parti atau gabungan parti nasional, maka mereka terikat dengan keputusan gabungan parti nasional yang menentukan pendirian pengundian di parlimen,” ujar Armizan lagi.
