200 pelatih tamat latihan polis konstabel PULAPOL KK

Oleh: M. Shahril Kamarul Rizzan

KOTA KINABALU: Seramai 200 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Bil. 78 Siri 5/2025 berjaya menamatkan latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Polis Kota Kinabalu (PULAPOL KK), bermula 19 Januari 2025 sehingga 20 Julai 2025.

Majlis Perbarisan Tamat Latihan itu disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Bukit Aman, YDH CP Datuk Ts Ahmad Ramdzan Daud, yang menyampaikan amanat kepada para pelatih agar berkhidmat dengan seikhlas hati demi agama, bangsa dan negara.

“Objektif latihan ini adalah untuk mencapai pengetahuan asas dalam penguatkuasaan undang-undang dan membentuk jati diri sebagai anggota polis yang berintegriti, berdisiplin dan tegas.

“Saya ingin menyeru semua pelatih yang ada di depan saya hari ini, agar terus memantapkan ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkasa kebolehan dalam perkhidmatan kelak kerana sikap positif menjadikan pelaksanaan tugas lebih efektif dan keamanan dapat dicapai,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian PLAK di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, tugas bidang kepolisan menuntut pengorbanan dan tanggungjawab tinggi terhadap negara dan masyarakat, untuk harapan dalam memperkukuh imej PDRM.

“Jadikan ilmu yang diperoleh dari pusat latihan ini sebagai pedoman apabila bertugas di lapangan kelak.

“Ganjaran untuk anda yang memberi khidmat bakti dengan baik sudah tentunya adalah pangkat dan kemajuan dalam kerjaya,” katanya lagi.

Tambah beliau, semasa dalam latihan, para pelatih didedahkan secara intensif dengan latihan kawad, penggunaan senjata api, seni mempertahankan diri, pengendalian T-Baton, asas undang-undang, agama, komputer serta pelbagai ilmu asas kepolisan.

Latihan itu disusun mengikut tiga modul utama iaitu Modul Transformasi Kepolisan, Modul Transformasi Minda dan Modul Pengurusan Kepolisan bagi membentuk anggota yang cekap, berdisiplin dan beretika.

Ahmad Ramdzan (tengah) menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik

Majlis turut mengiktiraf pencapaian cemerlang pelatih melalui anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Mohd Ridzuan Hasan dari Putatan, Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Endy Nyepa dari Belaga, Sarawak dan Pelatih Terbaik Keseluruhan kepada Andy Brondonly Sebau Anak Jarup dari Kota Samarahan, Sarawak.

Majlis turut memberi penghargaan Jurulatih Akademik Terbaik kepada Stephen Sapah yang berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang kejurulatihan akademik PULAPOL.

Selain itu, Jurulatih Latihan Luar Terbaik pula dinobatkan kepada Jameus Juanis yang berpengalaman selama 23 tahun dalam budang kejurulatihan kawad dan jasmani.

Tinggalkan komen