Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membanteras aktiviti penyeludupan apabila berjaya menahan seorang lelaki warga asing serta merampas pelbagai jenis rokok seludup dalam satu serbuan khas di Kampung Sri Aman Batu 3, Tawau malam semalam.
Serbuan yang dilaksanakan oleh Unit Gempur Marin (UNGERIN) kira-kira pukul 10.00 malam itu berjaya memberkas suspek dan merampas sebanyak 1,540 pek rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai, dipercayai untuk pasaran haram dalam negara.
Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim, barangan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM367,200.00,”
“Tangkapan dan rampasan ini adalah hasil risikan yang berterusan serta tindakan tegas dalam mengekang sindiket penyeludupan yang menjadikan kawasan pesisir pantai sebagai laluan utama,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan, manakala suspek turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1963 berhubung status kewarganegaraannya.
Mohd Nazri turut menegaskan bahawa PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperhebatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan-kawasan panas yang dikenal pasti sering menjadi laluan sindiket penyeludupan.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
