Sabah perlu ada dalam rundingan Ambalat: Bung

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Sabah berhak dan perlu dilibatkan dalam apa jua kerangka rundingan bersama yang melibatkan kawasan pertikaian Ambalat. 

“Namun saya faham bahawa kita kini berada di ambang Pilihan Raya Negeri Sabah, oleh itu saya ingin menasihatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kedaulatan Sabah.

“Isu yang melibatkan kepentingan negeri dan negara harus diangkat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik jangka pendek,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Bung, UMNO Sabah akan sentiasa memastikan suara Sabah dibawa secara formal dan konstruktif, termasuk melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, agar kepentingan rakyat Sabah selaku jiran terdekat kawasan Ambalat terus terpelihara.

“Saya ingin menegaskan bahawa isu Ambalat tidak wajar dijadikan bahan politik berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Kita kena harus elakkan hal-hal seumpama ini, dan jangan sama sekali cuba mengheret isu sempadan maritim ini ke gelanggang sentimen politik tempatan, kerana ia hanya akan membuka ruang polemik tanpa menyumbang kepada penyelesaian sebenar.

“Pendekatan diplomasi adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim di kawasan Ambalat,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Bung turut meminta agar Kerajaan Persekutuan untuk membuka ruang agar pemimpin Sabah terlibat dalam rundingan di Jakarta yang bakal berlangsung 29 Julai ini.

“Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini seharusnya membuka ruang dan peluang kepada barisan kepimpinan Sabah untuk turut serta dalam rundingan strategik tersebut.

“Ini penting agar suara dan kepentingan Sabah diiktiraf secara sah dan jelas dalam apa-apa keputusan dasar berkaitan pembangunan bersama kawasan Ambalat.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar kekal rasional, kita mesti bersatu mempertahankan kedaulatan negara, sambil memastikan rakyat Sabah terus memperoleh manfaat wajar daripada sebarang hasil rundingan Ambalat,” ujarnya lagi.

Tinggalkan komen