Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Dua beranak yang mendakwa sedang berjalan kaki dari Indonesia menuju ke Mekah melalui negeri Sabah bermula di Tawau akhirnya ditahan di Lahad Datu, malam kelmarin.
Menurut sumber, terdapat aduan, keresahan orang awam terutama di dalam media sosial sehingga mereka ditahan oleh sepasukan polis kemudian dirujuk ke pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Lahad Datu untuk disoal siasat.
Pegawai Tadbir Agama JHEAINS daerah Lahad Datu, Mardi Arifin berkata, dua beranak itu ditemui ketika cuba untuk bermalam di salah sebuah masjid di daerah ini.
“Bertindak atas maklumat orang ramai dan video mereka yang tular di media sosial ketika tiba di Lahad Datu, kami dengan kerjasama pihak polis telah berjumpa mereka untuk sesi soal siasat.
“Berdasarkan maklumat dan siasatan, mereka ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah, iaitu beralamat di Bulukumba, salah sebuah daerah di Indonesia dan mendakwa sedang berjalan kaki dalam perjalanan ke Mekah untuk tujuan umrah,” katanya.
Menurut beliau, tindakan mencurigakan sangat tidak masuk akal.
Katanya, berjalan melalui Indonesia ke Sabah, Malaysia bagi tujuan ke Mekah apalagi untuk umrah yang tidak wajib bagi mereka yang tidak mampu.
“Selain itu, mereka membuat siaran langsung melalui TikTok dan YouTube serta kedua mereka mengaku ada mendapat sumbangan dari orang ramai ketika perjalanan dari Tawau ke Lahad Datu.
“Pihak kami mensyaki sesuatu yang tidak kena dan menasihati kedua beranak ini agar segera menghentikan tindakan ini, kerana ia boleh mengundang fitnah pada agama Islam di daerah ini dan seluruh Sabah,” kata Mardi ketika dihubungi New Sabah News sebentar tadi.
Kedua beranak itu akur dan telah dihantar ke terminal bas terdekat untuk mereka kembali ke Tawau.
“Mereka berdua berjanji akan pulang segera ke Indonesia dan tidak akan meneruskan hasrat perjalanan ke Mekah melalui Sabah bermula dari Tawau ke seluruh Negeri ini,”
“Kami juga ingin menasihatkan orang ramai khususnya agar tidak mudah memberikan sebarang bentuk sedekah samada melalui fizikal atau digital dalam gift TikTok dan sebagainya agar tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi tujuan peribadi,” ujarnya.
