KOTA KINABALU: Yang Dipertua ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening memberitahu bahawa Sabah mempunyai potensi besar dalam mewujudkan ruang kerjasama pelaburan, pelancongan dan pendidikan bersama Kazakhstan.
“Saya baru sahaja menyelesaikan lawatan kerja selama tiga hari ke Republik Kazakhstan atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty.
“Lawatan ini turut melibatkan pertemuan rasmi bersama wakil kerajaan Kazakhstan, Tourism Malaysia di Kazakhstan, serta Pesuruhjaya Perdagangan, Seksyen Perdagangan, Kedutaan Malaysia di Kazakhstan.
“Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan, pelancongan, pendidikan, minyak dan gas, teknologi maklumat serta pelancongan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, petang tadi.
Menurut Nordin, antara pencapaian dan potensi utama lawatan itu adalah mewujudkan peluang besar Sabah khasnya dari sudut pelancongan.
“Kazakhstan kini melihat Asia Tenggara, khususnya Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyatnya berikutan ketidakstabilan situasi di Eropah Timur dan Timur Tengah.
“Penerbangan terus Almaty–Kuala Lumpur (empat kali seminggu) menjadi pemangkin, dan AirAsia kini dalam rundingan dan akan menambah satu lagi penerbangan mingguan, menjadikannya lima kali seminggu pada bulan ini.
“Kerajaan Kazakhstan juga menyuarakan minat membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, khususnya ke Kota Kinabalu dan Semporna, yang mana sebelum ini pelancong mereka ramai ke Pulau Langkawi sahaja.
“Namun, promosi secara agresif perlu dilakukan bagi menarik pasaran ini dan mereka juga menawarkan pengalaman unik di Kazakhstan seperti jet ski musim salji bermula bulan Oktober, kereta kabel dan aktiviti pelancongan musim sejuk,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bahawa peluang itu turut dilihat berpotensi ke arah mengembangkan industri dan pelaburan.
“Kami menerima taklimat terperinci berkenaan beberapa projek pelaburan utama yang kini sedang dibuka kepada pelabur luar seperti Kilang Pembuatan Tali Sawat (Conveyor Belt) yang dibangunkan oleh Kumpulan Aytei, antara pemain utama industri pembinaan infrastruktur Kazakhstan, yang mana projek ini menyasarkan pengeluaran tali sawat berkualiti tinggi untuk sektor agrikultur, perlombongan dan industri berat.
“Selain itu, Pemprosesan Sisa Mineral Teknogenik (TMW) Kazakhstan masih memiliki lebih lima bilion tan sisa mineral dari era Soviet yang mengandungi logam bernilai tinggi seperti kuprum dan mereka memerlukan pelabur industri dari Malaysia untuk membina kilang pemprosesan moden di sana.
“Seterusnya ialah Lapangan Minyak Tortai (Wilayah Atyrau) yang mempunyai rizab geologi sekitar 82.1 juta tong, dengan 22 telaga telah digerudi dan empat daripadanya aktif menghasilkan minyak dan projek ini dibuka untuk pelabur strategik dari luar negara termasuk Malaysia,” katanya lagi.
Tambah beliau, perkembangan Kenderaan Elektrik (EV) juga antara aspek yang dilihat berpotensi mengukuhkan jalinan negara ini dengan Kazakhstan.
“Proton telah menandatangani perjanjian membina kilang EV di Kazakhstan.
“Negara tersebut kini memacu ke arah 80 peratus penggunaan EV di bandar-bandar utamanya yang sangat bersih dan lestari,” katanya.
Nordin turut menjelaskan bahawa Kazakhstan turut menyatakan minat untuk membangunkan perbankan Islam dan teknologi kewangan.
“Mereka juga terbuka untuk kerjasama pertukaran pelajar dan program pendidikan yang lebih memfokuskan kepada Bahasa Inggeris, memandangkan Bahasa Rusia kini semakin berkurangan digunakan.
“Untuk pengetahuan semua, rakyat Kazakhstan kini memilih Malaysia sebagai destinasi utama rawatan perubatan yang berkualiti dan berpatutan dan ini membuka ruang besar untuk pelancongan kesihatan di Sabah, khususnya hospital swasta dan pusat pemulihan,” tambah beliau lagi.
Nordin juga berkata ACCI Sabah sentiasa berpegang teguh sebagai pihak yang berperanan untuk menjadi penghubunh dan peneroka peluang untuk membawa pelabur dan pemain industri dari Malaysia, khasnya Sabah, ke Kazakhstan.
“Kami akan menyusun susulan lawatan ini untuk mempermudah kehadiran pelabur dan pelancong Kazakhstan ke Semporna dan Kota Kinabalu, dan sebaliknya.
“Kami berharap semua agensi dan pemain industri di Sabah, termasuk MATRADE, MITI, Tourism Sabah, MIDA serta sektor swasta akan berganding bahu menyambut potensi ini dengan serius dan berstrategi,” ujar beliau lagi.
