Lebih 1,000 peserta meriahkan larian amal ‘Nuhu Dolorosa de Kamijan Trail Run 2.0’

KIMANIS: Lebih 1,000 peserta turut sama memeriahkan acara larian amal ‘Nuhu Dolorosa de Kamijan Trail Run 2.0’ bagi menyokong usaha pembinaan semula St Anne Chapel di Penampang Baru.

Pengerusi Penganjur, Jessel Kamijan berkata acara itu diilhamkan oleh Monsignor Fr Nicholas Stephen, yang menerajui usaha amal.

“Chapel ini tidak dapat untuk menampung jemaah yang hadir untuk khidmat mereka pada Ahad dan sesi misa.

“Oleh itu, kami bekerjasama bersama komuniti setempat bagi larian amal ini, untuk membantu St Anne Chapel,” katanya.  

Larian amal itu disempurnakan oleh Archbishop Datuk John Wong yang juga turut serta dalam larian amal kategori tujuh kilometer lelaki terbuka.

Tiga kategori jarak larian bermula daripada tujuh kilometer, 12 kilometer dan 30 kilometer yang melibatkan penyertaan daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas dipertandingkan.

Paling menarik, peserta warga emas berusia 76 tahun, Loius Ening Gabriel tampil sebagai peserta dalam kategori larian tujuh kilometer dan berjaya menamatkan larian beliau.

Antara pelari yang berjaya ialah bekas juara Climbathon, Guanus Salagan dan isteri, Kona Liau.

Pemenang yang berjaya bagi kategori 30 kilometer pula ialah Sheron Sariman (tempat pertama), Milton Amat (tempat kedua) dan Wilsen Singgin (tempat ketiga).

Manakala pemenang bagi kategori yang sama untuk wanita pula ialah Natasya Soon (tempat pertama), Adelinah Lintanga (tempat kedua) dan Stephanie Gelawit (tenpat ketiga).

Selain itu, acara amal itu turut disertai oleh biarawati, novis dan pendeta.

Dalam pada itu, sukarelawan dari gereja berhampiran turut sama bekerjasama untuk melancarkan urusan larian amal itu, dengan turut membantu menawarkan jualan barangan Rahmah dalam dua trak, gerai dan sesi karaoke berbayar.

Tiket cabutan bertuah dan barang yang dijual adalah bertujuan untuk menjana sumber tambahan bagi gereja itu.

Hadiah utama dalam cabutan bertuah ialah sebuah motosikal dengan 20 hadiah lain berupa pelbagai barangan elektrik.

Tinggalkan komen