Kontrak syarikat OGSE Sabah akan diperbanyak tahun ini: KM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu bahaqa Kerajaan Negeri dengan kerjasama PETRONAS dan rakan-rakan  industri telah menetapkan sasaran peningkatan sebanyak 100 peratus kontrak  tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk  syarikat-syarikat dari Sabah tahun ini.

“Dari segi pengambilan pekerja, sasaran adalah jelas: 100 peratus bagi jawatan bukan teknikal dan sekurang-kurangnya 80 peratus jawatan teknikal dalam sektor OGSE mesti diisi oleh rakyat Sabah. 

“Sasaran ini mencerminkan komitmen teguh kita untuk memperkukuh penyertaan  tempatan dan membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berasaskan bakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan  Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe

semasa hadir dalam Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. 

Menurut Hajiji, pada tahun 2021, jumlah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari Sabah bagi kerja-kerja perkhidmatan minyak dan gas tempatan berjumlah  RM341 juta dan menjelang akhir tahun lalu, jumlah itu melonjak kepada lebih RM2 bilion  bagi kerja-kerja yang dianugerahkan di dalam dan luar Sabah. 

“Industri minyak dan gas Sabah merupakan tunjang penting dalam  pertumbuhan ekonomi negeri ini dan terus memainkan peranan utama, menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara. 

“Namun, kami percaya peranan kita perlu melangkaui sekadar pengeluaran. Kita  berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan bagi inovasi OGSE  dan amalan tenaga mampan serta sebagai hab di mana pelaburan, bakat dan teknologi  bertemu untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya lagi.

Dalam pda itu, Hajiji turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui SMJ Energy turut mengambil langkah tegas untuk mendapatkan ekuiti dalam aset huluan dan hiliran utama, termasuk PSC Samarang dan loji petrokimia SAMUR, serta kepentingan dalam blok pencarigalian SB403, SB409, SB306A dan SB306B.

“Sabah Energy Corporation juga telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia, susulan  pengambilalihan kontrak gas darat PETRONAS di Sabah dengan jayanya. 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada  PETRONAS dan semua rakan pengendali kami di Sabah atas usaha berterusan,  komitmen dan pelaburan anda dalam pembangunan kandungan tempatan. 

“Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani pada Disember 2021  bersama PETRONAS adalah signifikan dan pelaksanaannya menerusi inisiatif seperti  Jawatankuasa Kecil bagi industri OGSE, yang dipengerusikan bersama oleh  Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta  PETRONAS, telah menunjukkan hasil yang nyata,” jelasnya.

Selain itu, Hajiji juga berkata, bagi mengekalkan momentum tersebut, usaha penubuhan Majlis Kandungan Tempatan  Sabah di bawah pemantauan SMJ Energy turut diadakan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan Pasukan Petugas  Bersama untuk Perkongsian Wajib. 

“Inisiatif-inisiatif ini, bersama dengan pandangan telus yang diberikan oleh Kinabalu Activity Outlook (KAO), direka untuk memastikan syarikat-syarikat tempatan kita mendapat maklumat, bersedia dan mempunyai rakan kongsi yang sesuai untuk mencapai kejayaan,” katanya. 

Hajiji turut memuji usaha Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dalam mempromosikan penyertaan Sabah dalam sektor OGSE. 

Beliau juga menyeru semua pihak untuk menyokong rancangan SOGSC dan PKPBS  menganjurkan persidangan OGSE pada tahun hadapan. 

“Visi kami adalah untuk membina rangkaian peluang OGSE yang melangkaui kontrak  jangka pendek. Kami ingin menggalakkan pemindahan ilmu, pertukaran teknologi dan  usaha sama yang mampu melonjakkan pemain tempatan ke tahap serantau. 

“Kami sedang meletakkan asas bukan sahaja untuk kemakmuran semasa, tetapi juga  untuk ekosistem OGSE yang berdaya tahan, inovatif dan mampan untuk generasi akan  datang. 

“Justeru, marilah kita bekerjasama memastikan Sabah bukan sahaja kekal sebagai pemain utama dalam sektor tenaga, tetapi menjadi model kepada pertumbuhan yang mampan dan inklusif dalam industri minyak, gas dan tenaga,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen