Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyeru semua ummat Islam untuk sentiasa muhasabah diri dan membuat perubahan menuju kebaikan demi memastikan kesejahteraan dan pengukuhan perpaduan masyarakat dapat dicapai.
“Semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam bentuk perubahan sikap dan pembaikan diri demi membina masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.
“Kita hidup dalam sebuah komuniti yang terdiri daripada kepelbagaian kepercayaan dan budaya, sikap toleransi dan menghormati satu sama lain adalah kunci kepada usaha mengukuhkan perpaduan dan memperbaiki diri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1447 Hijrah & Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Kota Belud di sini, semalam.
Majlis yang berlangsung dengan meriah itu turut menampilkan pelbagai acara seperti pertandingan kompang, nasyid, marhaban dan berzanji yang menghimpunkan peserta dari seluruh daerah.
Dalam pada itu, Salleh turut berkongsi pengisian berkenaan hijrah Baginda Rasullullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah dan meminta semua pihak untuk mengambil iktibar serta menghayati pengorbanan Baginda.
“Hijrah bukan hanya kisah perpindahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah semata-mata, tetapi lambang keberanian melakukan perubahan diri.
“Berani untuk berubah dengan membentuk diri daripada satu kelemahan kepada satu kekuatan, daripada sebuah kelalaian kepada sebuah tanggungjawab,” jelasnya lagi.
Menurut Salleh, acara seperti Mahrajan Kesenian Islam sangat berperanan dalam mendidik jiwa generasi muda agar mencintai nilai-nilai murni Islam melalui pendekatan seni yang mendidik dan menghiburkan selaras dengan syariat.
“Sambutan Ma’al Hijrah peringkat daerah ini bukan sahaja menjadi medan memperingati perjuangan Rasulullah SAW, tetapi juga menjadi platform memperkukuh silaturahim dan menyemarakkan semangat ukhuwah Islamiyah dalam kalangan penduduk.
“Semoga keharmonian kita mampu terus dibentuk dan disemai dengan makna penyatuan tanpa perpecahan,” katanya.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah pemimpin-pemimpin masyarakat, pegawai-pegawai agensi kerajaan, para guru, imam serta penduduk setempat.
Salleh turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan serta doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah sebagai simbol harapan baharu kepada seluruh komuniti di Kota Belud.
