Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Seramai 50 pelajar sekolah menengah daripada lima buah sekolah di sekitar daerah ini diberi pendedahan berkenaan usaha pemeliharaan hutan bakau.
Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada sekolah SM Tshung Tsin, SMK Likas, SM Lok Yuk, SMK Taman Tun Fuad dan SM Kian Kok, bersama guru masing-masing, menyertai program yang bertemakan ‘Membentuk Pelindung Bakau Masa Depan Hari Ini’.

Ketua Aset Operasi Hibiscus Petroleum Sabah, Edmund Ang berkata penyertaan para pelajar itu adalah satu gambaran kepada penglibatan generasi baru dalam bersama-sama untuk memelihara kelestarian alam sekitar di negeri Sabah.
“Daripada peranan pentingnya dalam melindungi pesisir pantai dan menyokong biodiversiti yang kaya, sehinggalah sumbangannya dalam mengurangkan perubahan iklim, hutan bakau benar-benar adalah penjaga alam.
“Sesungguhnya, penglibatan anak-anak pelajar kita bersama hari ini adalah suatu yang amat membanggakan dan syabas saya ucapkan kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Program Pemeliharaan Bakau anjuran Hibiscus Petroleum di Tapak Ramsar Wetland Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurut beliau, program anjuran bersama Persatuan Pemuliharaan Wetland Sabah itu adalah antara usaha untuk meneruskan aktiviti menanam anak pokok bakau di kawasan yang telah ditetapkan di Wetland tersebut.
“Para pelajar kita juga mendengar ceramah dan mengikuti lawatan berpandu bersama pakar daripada Persatuan Pemuliharaan Wetland berkenaan ekosistem bakau.
“Selain itu, menerusi aktiviti penanaman pokok itu, setiap pelajar telah mengambil bahagian dalam satu tindakan memelihara paya bakau tempatan dan bukan sekadar simbolik, tetapi dengan bukti komitmen yang dipamerkan untuk melindungi alam semulajadi kita,” katanya lagi.

Jelas Edmund lagi, program itu juga merupakan yang pertama daripada tiga siri kempen, di mana dua lagi acara seumpamanya akan diadakan di daerah lain di luar Kota Kinabalu dalam masa terdekat.
“Sepanjang kempen ini, kami akan bekerjasama dengan 15 buah sekolah terpilih, lima dari setiap daerah, melibatkan seramai 150 orang pelajar yang pintar dan bersemangat,” jelasnya.
Tambah beliau, Hibiscus Petroleum juga merupakan syarikat yang komited dalam usaha memberi penekanan tinggi terhadap tanggungjawab sosial korporat dan menyokong komuniti serta kumpulan sasar yang memerlukan melalui program yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan sosioekonomi masyarakat di kawasan operasinya.
“Sebab itulah, menerusi Kempen Pemeliharaan Bakau ini, kami berhasrat untuk membina kesedaran berinformasi dalam menjaga hutan pesisir pantai ini demi generasi akan datang.
“Kita berharap, dengan acara seumpama ini, ia dapat mencerminkan usaha lebih luas syarikat kita dalam menyokong usaha dan kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar dan penglibatan belia melalui inisiatif yang digerakkan oleh komuniti,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemuliharaan Wetland Sabah, Datuk Zainie Abdul Aucasa dalam ucapannya turut mengalu-alukan kehadiran para peserta serta menekankan betapa pentingnya usaha memelihara ekosistem bakau.
“Hutan bakau sangat penting kepada daya tahan alam sekitar kita. Ia melindungi garis pantai, menyokong kehidupan marin, dan menyimpan sejumlah besar karbon.
“Memang amat penting untuk golongan muda kita, memahami nilainya dan turut serta dalam usaha pemeliharaannya,” ujar beliau lagi.
