Warga asing ditahan bersama syabu dan senjata

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Padah miliki syabu dan parang, seorang lelaki warga asing ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, suspek yang berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.00 tengah hari di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Lahad Datu–Sandakan hasil risikan dan pemantauan pasukan operasi.

“Suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan bertindak agresif ketika didekati, dia turut cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan bersama anggota kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan sebuah beg kecil bertulis “Happy Smile” yang mengandungi satu paket plastik berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 10.96 gram, bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menyalah guna dadah. 

Selain itu, sebilah parang berbentuk sabit turut dijumpai terselit di pinggang seluar suspek.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin dan metafetamin.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) akta sama, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. 

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara, denda serta sebatan.

Tinggalkan komen