Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah treler muatan minyak sawit dan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax di Batu 16, Jalan Lahad Datu–Sandakan, malam tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.52 malam sebelum sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 9.15 malam dan mendapati tiga lelaki di dalam kenderaan pacuan empat roda itu tersepit serta tidak sedarkan diri.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Azizi, 28 tahun, yang memandu Isuzu Dmax, Muhammad Zulkhairi Ismail, 29 tahun, penumpang di tempat duduk belakang, serta Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28 tahun, penumpang di tempat duduk hadapan.
Sementara itu, pemandu treler lelaki berusia, 61 tahun, mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital menaiki ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat diketuai oleh PBK I Mohammad Akbar Mohambar selaku Komander Operasi manakala PKPgB Sumsoa Rashid bertindak sebagai Komander Operasi Kanan.
Turut membantu di lokasi ialah anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.40 tengah malam selepas pasukan penyelamat memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
