KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru kakitangan dan penjawat awam untuk terus berpegang teguh kepada prinsip profesionalisme, neutraliti dan integriti dalam melaksanakan tugas sepanjang tahun pilihan raya ini.
“Kita bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri pada tahun ini. Sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan Negeri, penjawat awam harus memastikan segala urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas serta terus berjalan lancar seperti biasa.
“Kecekapan dan ketelusan penjawat awam dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini mencerminkan komitmen kita untuk terus mendukung sistem demokrasi dan kestabilan pentadbiran negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mempengerusikan mesyuarat Pasca-Kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, komitmen jitu daripada
semua Ketua Jabatan juga amat penting bagi menyampaikan kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Mereka perlu menjalankan tugasan dengan lebih cekap dan tepat serta memantau projek dengan lebih berkesan agar semua projek yang telah diluluskan dapat disiapkan mengikut jadual.
“Perkara ini penting bagi mengelakkan kita daripada berdepan dengan kelewatan pelaksanaan, pembaziran sumber dan menjejaskan reputasi serta kepercayaan rakyat terhadap keupayaan jentera pentadbiran kerajaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan semua penjawat awam untuk sentiasa bersikap responsif, proaktif dan mengamalkan tadbir urus yang baik dalam melaksanakan tugas bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Penjawat awam perlu menjalankan tanggungjawab dengan amanah, ketelusan dan rasa tanggungjawab yang tinggi.
“Mereka mesti mengelakkan sebarang konflik kepentingan supaya matlamat dan objektif Kerajaan Negeri dapat dicapai dengan jayanya.
“Kepentingan kerajaan sentiasa lebih utama daripada kepentingan peribadi,” katanya.
Tambah Hajiji lagi, penjawat awam juga bertanggungjawab untuk sentiasa memelihara integriti diri dan menjadikannya sebagai salah satu asas penting dalam nilai diri masing-masing.
“Tanpa nilai integriti diri yang tinggi, kesannya kepada imej perkhidmatan awam dan keseluruhan institusi kerajaan negeri akan amatlah sangat serius,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata empat rang undang-undang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri selama dua hari yang akan bermula Isnin depan.
“Jabatan Ketua Menteri akan membentangkan dua rang undang-undang: Rang Undang-Undang Perhutanan (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Iklim dan Karbon 2025.
“Dua lagi akan dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, iaitu Rang Undang-Undang Cukai Jualan Negeri (Pindaan 2025) dan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025,” ujar beliau lagi.
