Oleh: Zacherlyn Ad
SIPITANG: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Pakej Lebuhraya Pan Borneo (LPB) adalah jaringan infrastruktur utama yang menghubunhkan Sabah, Sarawak dan Brunei.
“Usaha menaik taraf jalan Sindumin hingga Kampung Melalia adalah antara sebahagian daripada pakej LPB Fasa 1 di Sabah yang mana ada cabaran-cabaran tertentu, khasnya dari segi struktur jangka panjang.
“Ada keperluan rawatan tanah, dan ini adalah penting untuk kita pastikan mobiliti di semua kawasan yang terlibat dalam pakej LPB terutamanya Sabah dan Sarawak dapat dirangkumkan.
“Ini penting untuk menyokong kesepakatan hubungan baik dalam aspek sosial mahupun jaringan perdagangan antara bandar dan juga wilayah luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir meninjau tapak projek LPB di Sindumin, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Maslan lagi, usaha naik taraf dengan jarak sejauh 28.3 kilometer itu meliputi pembinaan kawasan jalan lencongan sejauh 9.4 kilometer, empat jambatan, satu simpang bertingkat, tiga jejantas untuk pejalan kaki dan 26 unit hentian bas.
“Setakat Jun, projek ini sudah mencapai 82.63 peratus, dan macam saya katakan, ada cabaran yang perlu diatas seperti keadaan tanah.
“Ini isu besar kerana melibatkan kos untuk kita rawat keadaan itu kerana kita mahu struktur tanah itu baik bagi tempoh yang lebih panjang, untuk keselamatan juga.
“Ini akan makan masa sedikit dan secara tidak langsung turut menjejaskan proses pembinaan yang sudah dijadualkan pada awalnya, ditambah juga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan juga memberitahu bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) sangat memberi penekanan kepada aspek pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) secara teratur oleh pihak kontraktor.
“Ini adalah untuk kita pastikan aspek keselamatan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.
“Kerana itu juga, besar harapan saya agar semua pihak terlibat termasuk pasukan projek, kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sama-sama berusaha untuk tingkatkan komitmen serta bekerjasama untuk kita realisasikan projek LPB ini hingga siap.
“Ini selari dengan matlamat Program MYJalan yang mana fokus utama adalah untuk menyediakan rangkaian jalan raya berkualiti serta selesa dan selamat untuk seluruh rakyat Malaysia, sejajar dengan aspirasi kerajaan,” ujarnya lagi.
