Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri atau Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW) dengan simpanan tenaga 400 Megawatt jam (MWj) yang terbesar di Asia Tenggara kini mula beroperasi dan disambungkan ke Sistem Grid Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, projek yang dimulakan pada September 2024 itu telah menyumbang sebanyak 50MW kepada tenaga rizab Grid Sabah semasa waktu puncak dan dijangka mencapai kapasiti penuh 100MW pada awal Ogos nanti.
“Kita dapat memberikan jaminan bahawa dengan adanya sistem bateri ini, masalah kekurangan bekalan yang dialami pengguna di Pantai Timur Sabah akan dapat dikurangkan secara signifikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak ke lokasi stesen BESS di Jalan Dam, di sini, semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Elopura Power Sdn. Bhd., Ir. Ts. Qaddafi Abdullah Bajerai.
Menurut Mohd Yaakob, keyakinan yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Kerajaan Negeri Sabah kepada SESB untuk melaksanakan projek berimpak tinggi ini digalas dengan penuh tanggungjawab dan komitmen.
“Projek ini berjaya disiapkan mengikut jadual dan menjadi pemacu utama kepada peningkatan prestasi bekalan elektrik yang lebih mampan di Sabah,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan lokasi BESS di Jalan Dam, Lahad Datu juga dilihat amat strategik kerana mampu menjadi game changer kepada kestabilan sistem penyaluran tenaga elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Selain meningkatkan kestabilan grid, projek ini turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar serta membuka ruang lebih luas untuk tenaga boleh diperbaharui dimanfaatkan secara optimum,” ujar beliau lagi.
