Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata semua pihak tidak harus memandang persepsi sebagai sebuah realiti bagi sesuatu isu lebih-lebih lagi yang melibatkan kes mahkamah atau perbicaraan yang masih berjalan.
“Saya berharap kita tidak membuat kesimpulan awal bersandarkan persepsi, sentimen mahupun laporan media sebelah pihak.
“Jangan kita terikut-ikut memutuskan seseorang adalah penjenayah rasuah sebelum berakhirnya proses siasatan dan keadilan di mahkamah.
“Ini kerana persepsi tidak semestinya satu realiti, dan kita ada proses dan sistem perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media di sini, hari ini.
Menurut Armizan, sebarang isu berbangkit atau tuduhan yang dibuat terhadap pemimpin parti, perlu dikendalikan dengan sikap profesional dan tidak serkap jarang.
“Di pihak GRS, sebagaimana sejak dari awal isu berbangkit dan tuduhan dibuat terima para pemimpin parti, kita berlapang dada menyerahkan kepada proses undang-undang.
“Inilah sikap dan pendirian kami sebagaimana yang diperjelaskan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya tidak berhajat untuk meminta mana-mana pihak berlaku adil kepada GRS, tetapi jangan pula kita memilih untuk memejam sebelah mata dan tidak melihat realiti di depan kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga meminta agar pihak yang cenderung melemparkan tuduhan negatif agar memandang isu rasuah dan salah guna kuasa dalam skop yang lebih luas dan menyeluruh tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak.
“Kalau sebut pasal isu dan tuduhan rasuah, banyak pemimpin daripada pelbagai parti yang terseret dengan tuduhan.
“Ada kalangan parti pembangkang, ada juga pemimpin dalam parti-parti kerajaan perpaduan sendiri yang terheret dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
“Ada yang sudah dibicarakan dan didapati tidak bersalah, ada yang telah dijatuhi hukuman, ada yang DNAA, ada yang sedang dalam perbicaraan bertahun-tahun lamanya, kerap bertangguh perbicaraan pun ada,” jelas Armizan.
Dalam pada itu, Armizan juga menegaskan bahawa pemimpin GRS tidak pernah membuat komen terbuka dan secara rasmi berhubung mana-mana pemimpin parti lain dan kes-kes mereka.
“Walau kadang kita seolah-olah ditolak ke dinding, kita tidak melatah untuk membuat perbandingan dan memilih untuk membiarkan proses undang-undang berjalan.
“Dari segi money trail rasuah yang didakwa pula, ada yang masuk akaun sendiri, ada yang masuk akaun isteri, syarikat proksi dan ada juga yang dalam bentuk manfaat lain seperti aset tertentu,” katanya.
Armizan juga memberitahu bahawa semua pihak perlu menghormati proses perundangan negara dan tidak perlu tampil menjadi hakim yang menghakimi isu tersebut.
“Kita percaya dan hormat kepada proses undang-undang, sama ada siasatan pihak berkuasa mahupun sistem keadilan negara melalui mahkamah; one is innocent until proven guilty.
“Semalam isu mineral ini telah dibawa ke mahkamah dan menariknya dan sangat mengejutkan, orang yang sebelum ini berbicara secara terbuka di luar mengguna pakai bentuk media bahawa beliau memberi imbuhan berbentuk rasuah kepada ramai ADUN, akhirnya tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan disebut di mahkamah.
“Tidak mengaku bersalah di mahkamah bermakna beliau tidak memberi rasuah.
“Jadi, kita boleh faham dan boleh nilai sendiri kan situasi ni, macam mana,” ujar beliau lagi.
