Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Golongan mualaf perlu didekati dengan penuh kasih sayang, diberikan bimbingan dan sokongan berterusan, bukannya dijadikan bahan cercaan atau sindiran, terutama oleh sesama umat Islam.
Bendahari Pemuda UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, pendekatan berhikmah amat penting dalam mendekati saudara baru yang masih merangkak mengenali Islam, apatah lagi mereka yang baru sahaja memeluk agama suci itu.
“Sebagai saudara seagama yang baru menerima hidayah, saya akui masih banyak yang perlu saya pelajari.
“Maka saya amat menghargai bimbingan yang ikhlas, bukannya cercaan atau sindiran berjemaah.
“Perbuatan menghina kekhilafan mualaf bukan sahaja mencerminkan akhlak yang bertentangan dengan ajaran Islam, malah turut mencemarkan imej agama yang penuh toleransi dan kasih sayang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, Islam menganjurkan perpaduan ummah dan menolak sebarang bentuk penghinaan yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Inikah akhlak sebenar seorang Muslim seperti yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW? Islam bukan agama caci maki. Ia adalah agama yang mendidik kita agar menyantuni insan lain, lebih-lebih lagi mereka yang baru mengenal Islam,” katanya.
Anil turut menasihatkan umat Islam agar tidak menjadikan agama sebagai alat politik atau melayan mualaf dengan sikap prejudis, sebaliknya menonjolkan akhlak terpuji dan pendekatan berhikmah dalam menyampaikan dakwah.
“Sewajarnya seorang mualaf diberikan pemahaman yang menyeluruh tentang Islam, diajar rukun Islam dan iman serta diceritakan tentang akhlak mulia Rasulullah SAW.
“Segala yang baik datang daripada Allah SWT, manakala segala kelemahan adalah daripada diri kita sendiri. Marilah kita kembali kepada asas Islam yang menjadi rahmat kepada sekalian alam,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengetua Madrasah Al-Ubudiyyah Wal Mas-Uliyyah, Ustaz Adam Khaleef Eilyas berkata, golongan mualaf merupakan insan terpilih yang hatinya telah dilembutkan oleh Allah SWT untuk menerima cahaya Islam.
“Mereka ini umpama bayi yang baru dilahirkan bersih daripada dosa dan sarat dengan potensi. Maka, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membimbing mereka, bukan mencela atau memperlekehkan latar belakang mereka.
“Dosa-dosa silam mereka telah diampunkan. Allah sendiri memuliakan mereka, jadi mengapa ada dalam kalangan kita yang menghina?” katanya.
Ustaz Adam berkata, ramai dalam kalangan mualaf belum mampu membaca al-Quran atau memahami hadis, maka mereka akan menilai Islam melalui akhlak umatnya.
“Kita ini duta kepada Islam. Perbuatan dan tutur kata kita menjadi gambaran kepada agama yang baru mereka peluk. Justeru, tunjukkan akhlak terbaik, seperti mana yang diajar Rasulullah SAW,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dakwah harus disampaikan dengan kasih sayang dan bukan dengan kemarahan atau penghinaan, selaras dengan contoh dakwah Rasulullah SAW.
“Rasulullah diutus untuk menyempurnakan akhlak. Baginda tidak pernah menghina orang kerana masa silam mereka. Maka kita juga harus mencontohi adab dakwah yang sama.
“Jangan hanya menilai seseorang berdasarkan masa silamnya. Jadilah pembimbing yang membina, agar mereka terus istiqamah dan tidak kembali kepada kepercayaan lama,” katanya.
