Lelaki ditahan bawa rokok tanpa cukai

Oleh: Sumayyah Rihanna

KUNAK: Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai ditahan dalam satu operasi bersepadu khas yang digerakkan oleh Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.

Operasi yang dikenali sebagai Op Taring Alpha 1 itu dilancarkan hasil risikan dan pemantauan rapi pihak berkuasa yang akhirnya membawa kepada penahanan suspek di kawasan Kunak Jaya. 

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata kejayaan operasi itu adalah bukti komitmen berterusan PGA Briged Sabah dalam membanteras kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di negeri ini.

“PGA akan terus memperhebatkan risikan serta pelaksanaan operasi bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan mencurigakan yang dipandu suspek menemukan sejumlah besar rokok putih dan rokok kretek yang dipercayai tidak bercukai.

“Antara hasil rampasan termasuk lebih 95,000 batang rokok putih dan sekitar 30,000 batang rokok kretek, selain sebuah kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pengedaran,” katanya. 

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM218,000.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendapat bekalan rokok dari daerah Tawau untuk diedarkan di sekitar kawasan Kunak. 

Kesemua rampasan dan tangkapan telah diserahkan kepada Cawangan Siasatan Jenayah IPD Kunak dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan yang tidak bercukai.

Tinggalkan komen