Kita yakin dengan kepimpinan KM: Azizah

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa kenyataan terbuka Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan “I have nothing to hide” merupakan bukti jelas bahawa beliau adalah seorang pemimpin yang telus dan tidak gentar untuk disiasat.

“Kita menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam menghadapi sebarang dakwaan atau tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau.

“Kami yakin dengan pengerusi kami. Beliau sendiri telah berkata dengan tegas , ‘Siasatlah!’ dan ini beliau orang yang bersalah atau takut, beliau tidak akan berani berkata begitu,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Menurut Azizah lagi, kenyataan tersebut juga mencerminkan keikhlasan dan keberanian seorang pemimpin utama negeri yang wajar untuk dicontohi kerana tidak gentar menghadapi kebenaran.

“Pemimpin yang berani berkata ‘pergilah siasat’ adalah pemimpin yang tidak menyembunyikan apa-apa. Ini menunjukkan keyakinan beliau terhadap proses undang-undang serta ketelusan dalam pentadbiran,” katanya lagi.

Azizah turut menyeru rakyat Sabah untuk tidak musah terpengaruh dengan sebarang cubaan menggugat kestabilan politik negeri dan menzahirkan sokongan berterusan terhadap kepimpinan yang telah membawa pelbagai kemajuan kepada Sabah.

“Kami harap agar semua terus tenang dan percaya kepada kepimpinan yang berani, jujur dan bertanggungjawab.

“Sokongan padu daripada rakyat amat penting dalam memastikan kestabilan negeri terus terpelihara,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen