Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Zuraidin Hais, 42 tahun menyatakan rasa syukurnya apabila terpilih sebagai penerima Rumah Mesra SMJ bagi Parlimen Papar.
“Dulu saya dan isteri serta empat anak menumpang dirumah orang tua di sebelah kerana kami tidak mempunyai rumah dan tidak mampu untuk membeli rumah.
“Kami tidur diruang tamu sebab rumah terhad dan berkongsi dengan ahli keluarga yang lain, lagi-lagi bila pulang ramai saudara-mara.
“Syukur alhamdulillah, terima kasih Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali kerana semua bantuan yang sudah kami sekeluarga terima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa kunjungan ke kediaman baru beliau di Kampung Kelanahan Rimba, di sini, hari ini.
Menurut beliau, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah dengan gaji sekitar RM1,000 menjadi kekangan terbesar untuk beliau mampu menyediakan segala keperluan.
“Saya bersyukur kerana kerajaan beri banyak bantuan.
“Sebelum ini, pernah memohon untuk bantuan rumah macam Rumah Mesra SMJ, tapi belum rezeki.
“Dengan ada Rumah Mesra SMJ, saya dapat, syukur sangat kerana akhirnya rezeki kami sekeluarga,” katanya.

Hadir sama meluangkan masa menziarah Zuraidin sekeluarga ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Menurut Armizan, Zurainin sekeluarga antara penerima bantuan Rumah Mesra SMJ, STR, SYUKUR dan zakat.
“Kita sudah semak dan kita berbesar hati kerana dapat menyampaikan bantuan kepada penerima yang memang selayaknya.
“Usaha dan insiatif Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat secara berterusan adalah sebuah komitmen yang jitu di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.
“InsyaAllah, untuk Parlimen Papar, bagi Rumah Mesra SMJ, kita menerima 120 buah rumah yang diberikan untuk ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen ini, terima kasih Kerajaan Negeri,” ujar beliau lagi.
