Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan memberitahu bahawa beliau akan membuat laporan polis berkenaan laporan media yang menyatakan penglibatan beliau dalam skandal rasual.
Jeffrey adalah antara yang turut diwar-warkan oleh media sebagai individu yang terpalit dengan skandal rasuah bersama beberapa orang lagi pemimpin besar negeri Sabah.
“Ini semua seolah-olah permainan untuk memerangkap saya, kenapa pula kami ada dalam kumpulan yang terpalit dengan skandal rasuah itu?
“Apa yang saya nampak, ini semua adalah sebuah permainan, ada tangan-tangan yang mengawal di sebalik perancangan dan pergerakan yang mereka lakukan ini.
“Untuk itu, langkah awal yang kita akan lakukan adalah membuat laporan polis, kemudian kita tengok tindakan selanjutnya yang sesuai sepertimana yang disarankan oleh peguam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-9 Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Keningau itu juga, semua yang terkait dalam laporan itu sudah dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita ada pergi dulu, dan itu sahaja, selepas itu tidak ada lagi kami dipanggai, sampai hari ini.
“SPRM tidak ada menghubungi kami berkenaan isu ini dan tidak ada apa-apa notis atau surat yang diterima juga, jadi memang ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kami,” katanya lagi.
Baru-baru ini presiden parti itu dilaporkan menerima rasuah berjumlah RM1.78 juta oleh media dalam talian.
“Saya tidak ada terima apa-apa panggilan daripada SPRM untuk memberi maklum balas atau penjelasan berkaitan isu itu dan macam ada cadangan yang saya dengan, kononnya kepimpinan negeri perlu ‘rehatkan’ pemimpin yang terpalit dengan rasuah, Ketua Menteri sendiri tahu dan faham ini adalah permainan dalam isu ini.
“Namun, kita masih perlu kaji semua pandangan dan persepsi orang ramai terhadap perkara ini,” ujar beliau lagi.
