Syarikat pengeluar ais dan makanan sejuk beku dipanggil ke KPDN esok: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa syarikat pengeluar ais dan syarikat makanan sejuk beku sudah dipanggil untuk hadir ke KPDN bagi memberi penjelasan berkenaan isu yang tular di laman media sosial baru-baru ini.

“Pertama sekali saya ingin sebutkan bahawa pengeluar ais tersebut, semalam sudah membuat laporan polis kerana apa yang ditularkan berkaitan kenaikan harga dari RM3.70 kepada RM6.00 itu adalah sesuatu yang tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya.

“Selain itu, sebuah syarikat pengeluar makanan sejuk beku terkemuka di tanah air juga dipanggil untuk memberi penjelasan yang sama dan mereka akan hadir ke KPDN, esok (1 Julai).

“Kita akan minta mereka jelaskan dengan terperinci apakah asas kepada perubahan harga tersebut, adakah kerana kenaikan kos operasi, atau bahan mentah yang digunapakai, dan jika ia berkaitan dengan cukai perkhidmatan (SST), maka kita akan minta mereka berikan asas berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723),” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media, di sini, petang tadi.

Tambah Armizan lagi, para peniaga perlu melihat aspek utama berkaitan SST dari sudut mekanisme perlaksanaan dan polisi yang berkaitan dengan semakan semula kadar cukai jualan (CJ) dan cukai perkhidmatan (CP).

“Pesanan saya kepada para peniaga, kita lihat dua perkata, polisi yang terkait dengan SST dan mekanisme pelaksanaannya.

“Juga yang berkaitan dengan agensi pelaksana termasuk Kementerian Kewangan Malaysia dan Jabatan Kastam.

“Untuk pengetahuan, ada syarikat yang berdaftar sebelum 1 Julai, dan ada juga yang akan mendaftar selepas 1 Julai, untuk kes ini, jika baru mahu daftar tapi sudah mula laksanakan SSR, maka ini juga kita lihat sebagai tindakan bertentangan, yang mana berada dalam skop polisi dan mekanisme pelaksanaan,” jelasnya lagi.

Tinggalkan komen