Ops Kesan 4.0, pantau salah laku perlaksanaan SST: KPDN

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kementeriannya akan melaksanakan Ops Kesan 4.0 bermula esok bagi memantau dan penguatkuasaan berkaitan Cukai Perkhidmatan (SST).

“Ops Kesan 4.0 digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723) yang mana fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan dengan tidak munasabah serta bertentangan dengan perundangan di bawah AKHAP 2011.

“Skop penguatkuasaan termasuk barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan (SST) yang berkaitan, meliputi pemantauan terhadap barangan yang tidak terlibat dengan semakan kadar SST seperti barangan keperluan asas,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sidang media di sini, petang tadi.

Menurut Armizan, Ops Kesan 4.0, akan dilaksanakan dengan tiga pendekatan termasuk melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan.

“Ini termasuk mengguna pakai data-data kutipan harga harian oleh petugas KPDN dan data ini yang akan dijadikan asas perbandingan harga dan cas perkhidmatan sebelum, dan selepas pelaksanaan semakan kadar SST.

“Selain itu, Ops Kesan 4.0 juga adalah dijalankan untuk memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penglibatan awam sejajar dengan pelaksanaan Kita Gempur, iaitu Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan.

“Kita juga fokus dalam menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan,” katanya. 

Dalam pada itu, Armizan turut menegaskan bahawa KPDN akan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab dan mengenakan kenaikan harga yang tidak munasabah, serta tidak sejajar dengan perundangan pencatutan.

“Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi syarikat pula, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan,” jelasnya lagi.

Bagi mengemukakan sebarang aduan, pengguna boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 0388826245/6088 dan 1800886800, atau whatapps di talian 0126654292, atau akses terus ke Portal e-Aduan KPDN di laman sesawang http://kpdn.gov.my.

Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Ez ADU KPDN di telefon pintar bagi memudahkan sebarang urusan menyalurkan maklumat kepada KPDN.

Tinggalkan komen