Kerajaan jamin peniaga kecil dan mikro terus guna LPG subsidi: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kementeriannya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memastikan peniaga makanan mikro dan kecil boleh terus mendapat manfaat subsidi LPG.

“Kita jamin dan sebab itu saya katakan bahawa kita mengambil kira dari sudut peniaga kecil dan mikro yang menjual makanan dan minuman, tidak perlu risau, kita sekarang cuma perlu satu mekanisme untuk mengawal agar subsidi kita beri pada peniaga itu, tidak diselewengkan.

“Ada kes yang mana segelintir golongan tidak bertanggungjawab membeli LPG subsidi dengan jumlah banyak dan mereka salah guna, mereka jual semula dan inilah konsep penyelewengan yang kita mahu banteras kerana setiap nilai subsidi adalah duit rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media di sini, petang tadi.

Menurut Armizan, peniaga makanan mikro dan kecil yang memperoleh manfaat subsidi LPG perlu mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan perniagaan mereka secara berhemah.

“Apabila sudah guna LPG subsidi, maka wajarlah jualan makanan mereka juga dengan harga rakyat, yang mampu untuk rakyat beli, yang sesuai.

“Kalau nasi goreng harga RM30, nasi ayam harga RM35, itu saya kira tidak wajar untuk harga rakyat, inilah yang saya jelaskan tadi berkenaan kesesuaian dan kita tengok premis yang menjalankan perniagaan itu.

“Andai harga jualan yang dikenakan adalah sedemikian rupa, itu bukan harga kos sara hidup tapi itu harga kos gaya hidup,” katanya lagi.

Terdahulu, turut berlangsung Sesi Libat Urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan PPKB (Pindaan) 2021 yang melibatkan golongan sasar persatuan-persatuan peniaga makanan dan minuman bagi negeri Sabah.

“Sesi ini bertujuan untuk kita dapatkan maklum balas dan pandangan berkaitan cadangan pindaan terhadap peruntukan-peruntukan kepada PPKB (Pindaan) 2021 yang bakal dilaksanakan oleh kementerian kelak.

“Untuk pengetahuan, sesi seumpama ini sudah dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan hari ini di Sabah.

“KIta akan teruskan di semua negeri-negeri lain dan kita harap agar sesi libat urus ini akan siap untuk bulan Julai dan Ogos,” jelasnya lagi.

Tinggalkan komen