Warga emas maut, kenderaan terbabas di Bukit Ular

Oleh: Sumayyah Rihanna

KUNAK: Seorang lelaki berusia 74 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Ular, laluan Kunak-Lahad Datu pagi tadi.

Komander Operasi, PBKI Mohd Ridzuan Shahidun memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace yang terbabas sendiri ke bahu jalan telah berlaku dan sembilan mangsa terlibat.

“Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.19 pagi melalui MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digegaskan ke lokasi sejauh 40 kilometer. 

“Jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 7.50 pagi.

“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis,” katanya. 

Tambah beliau, lapan lagi mangsa, berusia antara 46 hingga 75 tahun, mengalami kecederaan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.09 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Antara agensi lain yang terlibat dalam operasi ini termasuk KKM dengan empat petugas serta PDRM dengan dua anggota.

Tinggalkan komen